Kuching City ‘cakar’ DPMM FC 3-1, tempah slot separuh akhir Piala Malaysia
KUCHING: Kuching City FC melakar sendiri apabila mara ke semi final Piala Malaysia buat pertama kali selepas menewaskan DPMM FC dengan keputusan 3-1 dalam aksi penuh berintensiti, malam tadi.
Perlawanan tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Stadium Negeri.
Skuad The Cats bermula garang seawal minit perlawanan apabila berjaya menguasai permainan dan mendahului dengan dua jaringan awal dari Ronald Ngah Wanja dan ketua pasukan, James Okuwosa sebelum pemain warisan Gabriel Palmero meledak gol ketiga tuang rumah pada minit ke-69.
Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak menzahirkan penghargaan kepada para pemain atas komitmen serta disiplin taktikal yang dipamerkan sepanjang perlawanan.
“Kredit harus diberikan kepada para pemain kerana bermain mengikut kekuatan sendiri dan bukan sekadar bertahan, mereka melaksanakan apa yang dirancang dengan baik,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan .
Sementara itu, Ketua Jurulatih DPMM FC, Mcallister James Reynold mengakui pasukannya bermula perlahan pada separuh masa pertama sehingga memberi ruang kepada tuan rumah menguasai permainan.
“Kami tidak bermain dengan baik pada separuh masa pertama dan melepaskan dua gol yang sepatutnya boleh dielakkan,” katanya .
Beliau bagaimanapun memuji semangat juang para pemainnya yang menunjukkan peningkatan pada babak kedua.
“Pemain terus berjuang pada separuh masa kedua dan kami tampil lebih kompetitif. Ia satu perlawanan yang menarik dengan suasana penyokong yang sangat baik,” ujarnya .
Menurut beliau lagi, berdasarkan prestasi keseluruhan dua perlawanan, Kuching City FC sememangnya layak untuk mara ke peringkat separuh akhir.
Kejayaan 3-1 itu sekali gus mengesahkan slot Kuching City ke separuh akhir dengan agregat 6-2 selepas kemenangan sama diraih di Bandar Seri Begawan pada 8 Februari lalu.
The Cats dijangka berdepan juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor FC pada semi final yang disifatkan Aidil sebagai cabaran baharu. - EDISI UKAS