Sarawak Sokong Pengambilan Graduan Bukan Pendidikan Atasi Kekurangan Guru
KUCHING: Kerajaan Sarawak menyokong langkah terbaharu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuka peluang kepada graduan bukan pendidikan menyertai profesion keguruan sebagai usaha menangani kekurangan tenaga pengajar di seluruh negara.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata inisiatif tersebut dilihat sebagai langkah proaktif dan berharap lebih banyak pendekatan seumpamanya dilaksanakan bagi memastikan bekalan guru sentiasa mencukupi, khususnya di Sarawak.
“Kita akan lihat. Lebih-lebih lagi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) kerana mereka yang akan membuat tapisan.
“Polisi itu datang daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak SPP yang akan membuat tapisan.
“Mereka akan lihat berapa ramai yang memohon nanti selain daripada mereka yang graduan daripada Institut Perguruan.
“Banyak juga graduan-graduan daripada universiti swasta yang mengambil kursus-kursus yang relevan tetapi kadang-kadang mereka tiada diploma iktisas untuk pendidikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi di Dataran Ibu Pertiwi, pada Ahad.
Dato Sri Roland Sagah menambah, keperluan sebenar guru di negeri ini akan ditentukan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak berdasarkan kekosongan semasa akibat persaraan, peletakan jawatan dan pertukaran.
Baru-baru ini, KPM memaklumkan seramai 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG9 baharu akan diambil secara Contract of Service (CoS) bagi memenuhi keperluan di seluruh negara.
Pengambilan tersebut merupakan sebahagian daripada persiapan awal pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 serta kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun 1 secara sukarela bermula tahun hadapan.
Hebahan pengambilan dijadualkan pada 23 Februari manakala permohonan dibuka dari 2 hingga 20 Mac. Proses saringan temu duga akan dilaksanakan mulai 27 April hingga 14 Mei dengan kerjasama penuh SPP.
Bagi memastikan kompetensi guru terpelihara, calon yang berjaya akan menjalani latihan ikhtisas di Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM mengikut bidang pengkhususan masing-masing.-EDISI UKAS