TYT Sarawak & Toh Puan Sertai ‘A March of Unity’, Semarakkan Semangat Penyokong
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan berangkat menyaksikan perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia antara Kuching City FC dan DPMM FC di Stadium Negeri, malam tadi.
Keberangkatan tiba TYT dan Toh Puan pada kira-kira jam 8.30 malam disambut Presiden Kuching City FC merangkap Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman.
Hadir sama Konsul Jeneral Negara Brunei Darussalam, Sheikh Abdul Mahdani Dato Paduka Sheikh Abdul Gani, Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan bersama isteri Dayang Siti Aisyah Mohd Atai serta tetamu kenamaan lain.
Turut memberikan sokongan ialah Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dzulkornain Masron serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Sports Corporation, Khairul Nizam Morshidi.
Ketibaan TYT dan Toh Puan menerima sorakan gemuruh daripada lebih 10,000 penyokong yang membanjiri Stadium Negeri bagi memberikan sokongan padu kepada kedua-dua pasukan.
Semasa rehat separuh masa pertama, TYT dan Toh Puan berkenan menyertai perarakan santai ‘A March of Unity’ mengelilingi stadium sambil melambai kepada para penyokong bersama Dato Fazzrudin Abdul Rahman, diiringi tetamu kenamaan serta pasukan pancaragam dari SMK St. Joseph Kuching.
Momen tersebut mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya TYT dan Toh Puan berkenan hadir menyaksikan perlawanan bola sepak di Stadium Negeri bersama ribuan penyokong, sekali gus memberi peluang kepada rakyat untuk melihat kepimpinan negeri dari jarak lebih dekat.
Dalam perlawanan itu, pasukan tuan rumah, Kuching City FC menewaskan DPMM FC 3-1 sekali gus mencatat agregat 6-2 untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.
Sebelum berangkat pulang, TYT dan Toh Puan merakamkan ucapan tahniah kepada Dato Fazzrudin Abdul Rahman serta seluruh pasukan Kuching City FC atas kemenangan tersebut dan mendoakan agar pasukan yang mewakili Sarawak itu terus cemerlang seterusnya merebut kejuaraan Piala Malaysia musim ini.-EDISI UKAS