UKAS Perkukuh Jaringan Strategik Menerusi Program Get-Together 2026
BINTULU: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) terus memperkukuh jaringan kerjasama bersama rakan strategik menerusi penganjuran program UKAS Get-Together 2026 yang berlangsung di Kenyalang Pickleball Centre pada Sabtu.
Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Putrayusrie berkata, program santai berkonsepkan sukan itu menjadi platform penting dalam mempererat hubungan antara agensi kerajaan, syarikat komersial serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurut beliau, UKAS tidak mampu berfungsi secara berkesan tanpa sokongan padu agensi-agensi tempatan yang bertindak sebagai mata dan telinga kerajaan di lapangan.
Katanya, komunikasi yang jelas, tepat dan berintegriti mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan, sekali gus memastikan penyampaian maklumat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Melalui program seperti ini, kita bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah membina keserasian dan semangat berpasukan dalam kalangan rakan strategik,” katanya semasa berucap dalam majlis perasmian program tersebut.
Beliau memaklumkan, bagi edisi Bintulu, sebanyak 14 agensi dijemput menyertai dua acara pickleball dan dart, termasuk penyertaan daripada syarikat komersial tempatan.
Tambahnya, aktiviti sukan tersebut menjadi medium komunikasi yang lebih santai dan terbuka selain mengukuhkan jaringan kerjasama sedia ada.
“Kerjasama erat ini merupakan tunjang utama dalam memastikan setiap dasar, inisiatif dan maklumat sahih Kerajaan Sarawak dapat disampaikan kepada rakyat dengan pantas dan berkesan,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, aktiviti sukan seperti pickleball bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif, malah mengukuhkan semangat berpasukan serta hubungan antara jabatan.
“Di gelanggang, tiada gelaran atau jawatan, yang ada hanyalah rakan sepasukan, persaingan sihat dan gelak tawa.
“Kadangkala, sedikit pergerakan fizikal sudah memadai untuk kita ‘reset’ dan kembali fokus selepas jadual yang padat,” katanya yang hadir mengempurnakan majlis perasmian program berkenaan.
Beliau turut menambah bahawa penganjuran program seumpama itu wajar diteruskan kerana mampu merapatkan silaturahim dalam suasana santai dan harmoni.-EDISI UKAS