Perpaduan Kaum Terus Jadi Tunjang Kekuatan Sarawak
PUSA: Kepelbagaian kaum yang membentuk masyarakat majmuk di Sarawak perlu terus dipelihara dan diperkukuhkan sebagai asas menjamin keamanan serta kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor berkata, semangat perpaduan dan sikap saling hormat-menghormati tanpa mengira kaum serta agama menjadi kunci utama keharmonian berterusan di Sarawak.
“Jika kita ingin hidup aman dan makmur, kita perlu bersatu serta saling menghormati antara satu sama lain,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan kepada golongan asnaf kaum Cina serta penyerahan buah limau sempena Tahun Baharu Cina di Pusat Khidmat Batang Lupar, Pusa, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat agar terus menyokong kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg, yang komited melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, keupayaan Sarawak membina banyak jambatan menggunakan dana negeri sendiri membuktikan kedudukan kewangan negeri yang kukuh serta tadbir urus yang berkesan.
Menyentuh pembangunan Beting Maro, sebanyak RM205 juta telah diperuntukkan di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), bagi menyediakan pelbagai kemudahan asas serta merancakkan pembangunan kawasan.
Selain itu, sektor pertanian yang terkenal dengan produk berasaskan nanas, gula apong (nipah) dan kelapa mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai produk nilai tambah, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk. - EDISI UKAS