Karnival Kampung Sindang 2026 Semarak Perpaduan Komuniti
KOTA SAMARAHAN: Karnival Kampung Sindang 2026 melabuhkan tirainya dalam suasana meriah dan harmoni di Perkarangan Masjid Al-Ikhlas Kampung Sindang, sekali gus menyerlahkan semangat perpaduan serta kebersamaan masyarakat setempat.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Dato’ Idris Buang pada Ahad yang turut meluangkan masa menyantuni penduduk dan mendekati komuniti kampung.
Beliau dalam ucapannya menegaskan bahawa program berteraskan komuniti seperti karnival kampung bukan sekadar medan hiburan, malah berperanan sebagai platform memperkukuh perpaduan rakyat dan mengeratkan hubungan antara pemimpin dengan masyarakat.
Menurutnya, kesinambungan penganjuran program seumpama itu penting bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara selain memupuk semangat kerjasama dan muafakat dalam kalangan penduduk.
Karnival yang berlangsung dari 19 Januari hingga 15 Februari itu menampilkan pelbagai aktiviti dengan penyertaan aktif penduduk pelbagai peringkat usia antaranya pertandingan karaoke, bola sepak, futsal wanita, memanah berkumpulan, badminton, pingpong, pertandingan gubahan dan masakan, Explorace Sindang serta sukaneka rakyat.
Turut hadir Penghulu Kampung Sindang Seraai Sajili, Ketua Kaum Kampung Sindang Hilir Padil Hajimi, Ketua Kaum Kampung Sindang Hulu Kassim Drahim, Pengerusi Komuniti Kampung Sindang Fazail Nawi. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap acara yang dipertandingkan.-EDISI UKAS