Komuniti Cina Perkukuh Landskap Pembangunan Sarawak
KUCHING: Komuniti Cina di Sarawak terus memainkan peranan signifikan sebagai pemacu pembangunan ekonomi, sosial dan budaya negeri ini.
Demikian tegas Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam perutusan khas sempena Tahun Baharu Cina 2026.
Menurutnya, masyarakat Cina telah sekian lama menjadi antara tonggak utama pembangunan negeri melalui penglibatan aktif dalam sektor perniagaan, pendidikan serta kepimpinan komuniti.
"Masyarakat Cina telah lama menjadi tonggak penting dalam pembangunan ekonomi, sosial dan budaya Sarawak.
"Sumbangan dalam bidang perniagaan, pendidikan dan kepimpinan komuniti terus memperkukuh daya tahan serta memacu kemajuan negeri ini,” katanya.
Beliau menambah, sambutan perayaan seperti Tahun Baharu Cina bukan sekadar tradisi kebudayaan, sebaliknya menjadi platform terbaik untuk memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
“Melalui amalan rumah terbuka dan sambutan bersama, kita mempereratkan hubungan serta mengukuhkan semangat kekeluargaan sebagai satu keluarga besar Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh rakyat agar terus bersatu hati dan berganding bahu, selari dengan semangat Tahun Kuda Api yang melambangkan keberanian, ketekunan dan pandangan jauh.
Katanya, semangat tersebut amat penting bagi memastikan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) berjaya direalisasikan sepenuhnya, sekali gus membawa Sarawak ke arah kemakmuran, kesejahteraan inklusif dan pembangunan yang lestari. –EDISI UKAS