Sarawak Perkukuh Pembangunan Inklusif Selaras PCDS 2030
KUCHING: Kerajaan Sarawak komited membangunkan negeri secara telus, inklusif dan prihatin ke atas kebajikan semua rakyat Sarawak termasuk masyarakat Cina, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pelbagai bentuk bantuan dan sokongan disediakan terutamanya dalam aspek pendidikan, sosial dan kebajikan bagi memastikan masyarakta cina turut menikmati pembangunan secara adil dan menyeluruh.
Beliau berkata, pada tahun 2024, Kerajaan Sarawak dibawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah memperuntukkan sekitar RM22 juta kepada sekolah aliran Cina merangkumi RM12 juta untuk Sekolah Rendah Bantuan Cina dan RM10 juta bagi Sekolah Menengah Bantuan Cina.
“Ini merupakan peningkatan daripada RM9 juta kepada RM12 juta bagi sekolah rendah berbanding tahun sebelumnya dan sebagai usaha Kerajaan Sarawak menyokong pembangunan bakat pelajar dan memperkukuh pendidikan pelbagai aliran.
“Bantuan ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak untuk membangunkan modal insan berkemahiran tinggi dan menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena sambutan Tahun Baru Cina 2026.
Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi menambah, Kerajaan Sarawak terus mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi membolehkan pelajar sekolah Cina melanjutkan pelajaran di universiti milik Sarawak, termasuk dalam bidang strategik seperti teknologi satelit dan aeroangkasa dengan pendidikan di universiti-universiti dan pengajian tinggi Sarawak yang diberikan secara percuma pada tahun ini.
Dalam aspek kebajikan, menurutnya, kerajaan negeri turut melaksanakan Program Sejambak Kasih Tahun Baru Cina secara konsisten bagi meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah.
Selain itu, beliau berkata, bantuan kewangan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) untuk naik taraf infrastruktur dan pembinaan rumah ibadah dan tokong-tokong Cina di seluruh Sarawak turut diteruskan.
Dalam pada itu, Yang di-Pertua Negeri Sarawak menekankan bahawa, masyarakat Cina telah lama memainkan peranan penting dalam kemajuan Sarawak, khasnya dalam bidang ekonomi dan keusahawanan.
Ujarnya, komuniti berkenaan telah menjadi tulang belakang dalam pelbagai sektor ekonomi Sarawak, termasuk perdagangan, pertanian, pertanian komersil, perusahaan moden, perniagaan kecil dan sederhana (PKS), serta pelaburan.
Selain ekonomi, beliau berkata, masyarakat Cina juga memainkan peranan yang signifikan dalam politik, pendidikan, dan sosial yang menjadi faktor utama kepada kejayaan dan kemajuan Sarawak sebagai sebuah wilayah yang progresif dan harmoni.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Sarawak memainkan peranan aktif dalam pembangunan negeri.
“Marilah kita bersama-sama menyokong usaha kerajaan dalam menjayakan agenda pembangunan dan memperkukuh ekonomi Wilayah Sarawak demi kesejahteraan generasi akan datang.
“Marilah kita terus memelihara dan memperkukuh semangat muhibah dan perpaduan ini demi kemajuan bersama,” katanya lagi.-EDISI UKAS