Transformasi Taman Apollo Cerminkan Keprihatinan Terhadap Keperluan Rakyat
SIBU: Taman Apollo di Jalan Matu kini kembali berfungsi sebagai ruang riadah dan pusat interaksi masyarakat setempat selepas lebih 20 tahun terbiar, hasil usaha penambahbaikan yang dilaksanakan secara berperingkat.
Perkembangan positif itu dizahirkan menerusi program anjuran Pusat Khidmat DUN Pelawan dengan kerjasama JKKK Deshon Barat, Majlis Penyalaan Lampu Tahun Baharu Cina Taman Apollo dan BBQ Gathering yang berlangsung di Apollo Park, di sini pada Ahad.
Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap ADUN Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee.
Dalam ucapannya, beliau berkata kawasan tersebut sebelum ini berada dalam keadaan uzur dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya walaupun telah lama diperuntukkan sebagai taman awam.
Menurutnya, kerja-kerja awal seperti penambakan tanah serta penyediaan infrastruktur asas telah dilaksanakan bagi memastikan taman itu selamat dan sesuai digunakan oleh penduduk.
“Penduduk setempat memang memerlukan satu ruang untuk beriadah, berinteraksi dan menjalankan aktiviti komuniti. Kini taman ini dapat digunakan oleh semua peringkat usia,” katanya.
Tambahnya, penganjuran majlis bersempena Tahun Baharu Cina itu mencerminkan suasana baharu taman berkenaan yang kembali hidup dengan kehadiran dan penglibatan aktif komuniti.
Katanya, taman tersebut bukan sahaja menjadi tempat kanak-kanak bermain, malah turut menjadi lokasi ibu bapa dan warga emas meluangkan masa bersama, sekali gus mengeratkan hubungan kejiranan serta memperkukuh perpaduan masyarakat setempat.
Usaha menaik taraf taman itu, jelas beliau, akan diteruskan dengan penambahan kemudahan seperti peralatan senaman dan permainan bagi memastikan ia terus memberi manfaat secara menyeluruh.
Dalam pada itu, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Cina dan berharap sambutan perayaan itu membawa kegembiraan, kemakmuran serta kebersamaan kepada semua.
Turut hadir Penghulu Ting Tien Huat, Kapitan Lau dan Kaunselor Chou Kok Jin.-EDISI UKAS