DARO: Kerajaan Sarawak terus komited memperkasa keharmonian dan kesejahteraan masyarakat majmuk dengan menyalurkan dana Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) 2025 Fasa 4 berjumlah RM98,000 kepada Jawatankuasa Gereja Borneo Evangelical Mission (SIB) Nangar Kecil.
Majlis penyampaian cek bantuan tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad di Gereja BEM (SIB) Nangar Kecil, di sini pada Ahad dengan kehadiran kira-kira 100 orang.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas komitmen berterusan melalui UNIFOR dalam membantu menaik taraf rumah ibadat agama-agama lain tanpa mengira latar belakang, sekali gus memperkukuh perpaduan dan toleransi beragama di negeri ini.
“Dana yang disalurkan akan dimanfaatkan untuk melaksanakan projek-projek kecil berimpak besar seperti menaik taraf perkarangan gereja, menambah baik kemudahan asas serta memperindah persekitaran rumah ibadat demi keselesaan dan keselamatan para jemaah,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa rumah ibadat bukan sahaja berfungsi sebagai tempat beribadah, malah berperanan sebagai pusat perpaduan, kebajikan dan pembangunan sosial masyarakat setempat.
Selain pembangunan fizikal, beliau turut menekankan kepentingan pembangunan modal insan khususnya dalam kalangan belia dan sukarelawan gereja agar institusi tersebut terus berdaya maju serta berfungsi sebagai pusat kegiatan komuniti.
Beliau menyifatkan UNIFOR sebagai bukti jelas keharmonian dan toleransi beragama di Sarawak yang wajar dipelihara serta diperkukuh demi kesejahteraan generasi akan datang.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan akan terus menyokong permohonan munasabah rumah ibadat di kawasan Daro selagi memberi manfaat kepada rakyat.
Penyaluran dana tersebut mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh perpaduan serta kesejahteraan rakyat sejajar dengan aspirasi pembangunan Sarawak yang inklusif dan seimbang. -EDISI UKAS