Agihan Limau Mandarin Erat Perpaduan Komuniti Cina Daro
DARO: Sambutan Tahun Baharu Cina di Daro terus disemarakkan dengan penganjuran Majlis Agihan Buah Limau Mandarin 2026 anjuran Saberkas Cawangan Daro di Pusat JKKK Kampung Cina Daro.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad hadir menyempurnakan majlis pada Ahad sekali gus menyampaikan sumbangan limau mandarin kepada masyarakat Cina setempat sebagai simbol kemakmuran dan kesejahteraan.
Dalam ucapannya, beliau mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina dan Gong Xi Fa Cai kepada seluruh masyarakat Cina khususnya di Daro, sambil berharap Tahun Kuda kali ini membawa semangat kekuatan, tenaga serta kepantasan dalam menghadapi cabaran semasa.
Menurutnya, sambutan perayaan itu bukan sahaja diraikan oleh komuniti Cina, malah dikongsi bersama seluruh rakyat Sarawak dalam suasana harmoni dan saling menghormati.
“Tahun Baharu Cina mencerminkan keunikan masyarakat majmuk kita yang menjadi kekuatan utama Sarawak. Nilai kebersamaan dan hormat-menghormati perlu terus dipelihara demi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penganjuran program seumpama itu merupakan platform penting mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, selain menyemai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama.
Program berkenaan mencerminkan keprihatinan berterusan dalam meraikan kepelbagaian budaya serta memperkukuh perpaduan komuniti di Daro selaras dengan aspirasi pembangunan Sarawak yang inklusif dan sejahtera.-EDISI UKAS