Yang di-Pertua Negeri Sarawak & Isteri Sertai Latihan Menembak Di PULAPOL
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menyertai latihan menembak anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kuching di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching, pada Isnin.
Ketibaan beliau berdua pada jam 10 pagi disambut oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu serta pegawai kanan PDRM yang lain.
Program dimulakan dengan sesi taklimat keselamatan dan pengendalian senjata api yang disampaikan oleh Pegawai Turus Persenjataan, Jabatan Logistik dan Teknologi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, DSP Zaidi Said yang juga bertindak sebagai pengendali latihan.
Dalam sesi tersebut, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah menyertai latihan kategori ‘centre-fire’ dan ‘falling plate’ bersama Pesuruhjaya Polis Sarawak serta pegawai kanan pasukan.
Menurut ACP Alexson Naga, seramai 20 pegawai terdiri daripada pegawai kanan lelaki dan wanita mengambil bahagian dalam latihan julung kali itu bagi memastikan tahap kemahiran serta kompetensi penggunaan senjata api sentiasa berada pada tahap optimum.
Sejurus selesai latihan, Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan isteri turut berkenan menghadiri jamuan tengah hari sebelum menandatangani kertas sasaran yang digunakan sepanjang sesi menembak tersebut.
Latihan bersejarah yang pertama kali diadakan bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak itu diakhiri dengan sesi fotografi beramai-ramai sebelum tetamu kenamaan berangkat meninggalkan majlis. -EDISI UKAS