Taklimat Bazar Ramadan Perkukuh Disiplin Peniaga, Jamin Keselamatan Pengguna di Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Usaha memperkasakan pengurusan Bazar Ramadan di daerah ini dipertingkat apabila Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) mengadakan taklimat khas melibatkan penganjur serta peniaga sebagai persediaan menghadapi bulan Ramadan tidak lama lagi.
Taklimat yang diadakan pada Isnin itu memberi fokus kepada pematuhan peraturan, kawalan harga serta jaminan keselamatan makanan demi melindungi kebajikan pengguna.
Menurut Pengerusi Perbandaran MPKS, Abang Ismawi Abang Ali, langkah proaktif tersebut penting bagi memastikan operasi Bazar Ramadan tahun ini lebih tersusun, berintegriti serta mampu memberikan persekitaran perniagaan yang sihat dan berdaya saing.
Dalam sesi tersebut, wakil daripada Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan menekankan kepentingan kebersihan makanan termasuk tatacara pengendalian bahan mentah, penyediaan makanan yang selamat serta pelaksanaan kempen pengurangan gula dalam makanan dan minuman.
Pendekatan ini selari dengan usaha kerajaan meningkatkan kesedaran kesihatan awam, sekali gus membantu mengurangkan risiko penyakit berkaitan pemakanan dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, taklimat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi penekanan terhadap kepatuhan peniaga kepada peraturan harga, pelabelan serta tanggungjawab memastikan ketelusan harga sepanjang tempoh Ramadan.
Dalam pada itu, aspek keselamatan awam turut diberi perhatian menerusi perkongsian maklumat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan yang menyentuh garis panduan kawalan lalu lintas, pengurusan kesesakan serta langkah pencegahan jenayah di kawasan bazar.
MPKS berharap taklimat berkenaan mampu meningkatkan tahap profesionalisme peniaga dan penganjur, sekali gus memastikan Bazar Ramadan di Kota Samarahan berlangsung dalam keadaan teratur, selamat serta memberi manfaat ekonomi kepada komuniti setempat.