KUCHING: Usahawan mikro seluruh Sarawak digalakkan merebut peluang mendapatkan Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) bagi memperkukuh modal perniagaan sepanjang Ramadan dan Syawal.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin berkata, skim pembiayaan khas yang diperkenalkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional) itu menawarkan syarat permohonan yang mudah serta proses kelulusan pantas.
“TEKUN telah memperkenalkan skim ini dengan peruntukan sebanyak RM50 juta. Kita minta semua usahawan tampil dapatkan peruntukan ini dengan syarat minimal sahaja iaitu lesen perniagaan, salinan kad pengenalan dan salinan bank.
“Kita juga arahkan TEKUN memproses serta menyalurkan pinjaman dalam tempoh lima hari bekerja,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Jualan Madani Koperasi & Usahawan (JMKU) di sini pada Isnin.
Beliau menambah, setakat ini kira-kira RM14 juta telah disalurkan kepada seramai 2,010 peminjam di seluruh negara, manakala Sarawak merekodkan sekitar 80 penerima.
Jelasnya, jumlah penerima di negeri ini akan terus ditingkatkan dan pihak kementerian bersedia berbincang untuk menambah peruntukan sekiranya diperlukan.
"Permohonan skim tersebut masih dibuka sehingga 15 Mac dan terbuka kepada pelbagai jenis perniagaan termasuk peniaga bazar Ramadan, jualan kuih raya atau juadah dari rumah, restoran serta kedai runcit," jelasnya lagi.-EDISI UKAS