JMKU Tawar Barangan Keperluan Harian Pada Harga Lebih Rendah
KUCHING: Program Jualan MADANI Koperasi & Usahawan (JMKU) memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah sekaligus menyokong produk keluaran usahawan tempatan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin berkata, program diperkenalkan sejak 2023 itu khusus bagi membantu masyarakat, terutama golongan B40 mendapatkan barangan asas pada harga murah.
“Ini bukan kali pertama tetapi pembuka tirai JMKU bagi tahun 2026 dan kita akan menjelajah ke seluruh Sarawak.
“Tahun 2023 program ini diperkenalkan khususnya untuk golongan B40 mendapatkan barang asas pada harga murah,” katanya semasa berucap dalam majlis perasmian program berkenaan di sini pada Isnin.
Datuk Mohamad menambah, sehingga 31 Disember 2025, 76 siri JMKU telah diluluskan yang melibatkan peruntukan RM2.13 juta, mencatat jualan RM6.07 juta dan telah memberi manfaat sebanyak 202,884 rakyat di Sarawak.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batang Sadong merangkap Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Rodiyah Sapiee menyifatkan inisiatif tersebut bukan sahaja membantu mengurangkan perbelanjaan rakyat malah merancakkan ekonomi komuniti melalui koperasi.
“Program JMKU merupakan platform yang penting dalam memperkasa gerakan koperasi serta usahawan tempatan di Kuching selari dengan aspirasi ekonomi MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat dan pengukuhan ekonomi komuniti,” ujarnya.
Beliau menambah, program berkenaan turut menyediakan ruang pemasaran kepada koperasi dan usahawan kecil untuk mempromosikan produk tanpa kos tinggi, meningkatkan penglibatan masyarakat dalam ekonomi setempat serta mengukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti.
Hadir sama dalam majlis perasmian berkenaan ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP Rahman Mohd Din serta Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Sarawak Norazlan Anuar.-EDISI UKAS