200 Peserta Sertai Bual Bicara Ramadan dan Al-Quran DHQc-MIS
KUCHING: Seramai 200 peserta menyertai program Bual Bicara Ramadan dan Al-Quran anjuran Pusat Pengembangan Al-Quran Darul Hana Majlis Islam Sarawak (DHQc-MIS) di Dewan Kompleks Islam baru-baru ini.
Bual bicara ini dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif DHQc-MIS Mohamad Shalahudin Marzuki, manakala barisan panelis terdiri daripada Pakar Rujuk Syariah Jabatan Mufti Sarawak Datu Khalidi Ibrahim dan Pengarah Institut Personaliti Quran, Yayasan Restu serta mantan Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) Mejar Jeneral Dato’ Nawawi Daud.
Program ini bertujuan memperkukuh kefahaman dan pengamalan Al-Quran sebagai panduan utama kehidupan umat Islam, terutamanya sepanjang bulan Ramadan, serta memantapkan bacaan, tadabbur dan penghayatan ayat-ayat suci dalam kehidupan seharian.
Ia juga merupakan program iringan bagi Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak Kali ke-65 yang berlangsung pada 4 hingga 7 Februari 2026.
Bual bicara ini diadakan bagi membentuk kesedaran rohani, persediaan mental menjelang Ramadan, dan menggalakkan penglibatan aktif masyarakat, khususnya wanita dalam program keilmuan Al-Quran.
Ia memberikan platform untuk perbincangan santai tetapi berfokus, bagi memperdalam pemahaman mengenai keistimewaan bulan Ramadan dan peranan Al-Quran dalam membimbing kehidupan harian.-EDISI UKAS