Tahun Baharu Cina 2026 Satukan Rakyat Sarawak, BCCK Dipenuhi Semangat Muhibah
KUCHING: Lautan manusia memenuhi Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) seawal pagi membawa bersama senyuman, harapan dan semangat baharu sempena Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Sarawak 2026 yang berlangsung dalam suasana penuh kemeriahan dan muhibah pada Selasa.
Sambutan yang dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi bukan sekadar acara tahunan, tetapi menjadi ruang rakyat berbilang kaum berhimpun sebagai satu keluarga besar Sarawak.
Penganjuran sambutan peringkat negeri itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memelihara keharmonian antara kaum serta memperkukuh semangat perpaduan yang menjadi teras kekuatan negeri ini.
Ketibaan Tun Pehin Sri dan Toh Puan disambut barisan kenamaan sebelum baginda berdua meluangkan masa menyaksikan pelbagai persembahan kebudayaan, termasuk tarian singa yang memukau, paluan gendang penuh bertenaga serta persembahan tradisi yang mencerminkan kekayaan warisan masyarakat Cina.
Majlis yang menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum itu bukan sahaja meriah dengan warna-warni budaya, malah sarat dengan nilai kebersamaan. Dalam suasana penuh muhibah, Tun Pehin Sri dan Toh Puan turut beramah mesra bersama para pengunjung, menyantuni rakyat tanpa mengira latar belakang.
Di celah keriuhan, suara rakyat yang hadir turut menggambarkan rasa bangga dan teruja.
Menurut Joshua Amir Sibat, suasana sambutan tahun ini jelas menunjukkan semangat perpaduan rakyat Sarawak yang semakin kukuh.
“Seawal jam 9 pagi, perkarangan sudah dipenuhi orang ramai. Saya harap budaya seperti ini dikekalkan melibatkan semua generasi dan pelbagai bangsa. Inilah imej Sarawak yang kita banggakan,” katanya.
Bagi Azizah Alwi pula, sambutan Tahun Baharu Cina menjadi medan mempertemukan kembali sahabat lama dan ahli keluarga dalam suasana harmoni.
“Saya rasa ini yang paling meriah. Kita dapat berjumpa kawan lama dan keluarga. Tahun Baharu Cina adalah tentang kita bersatu dan merapatkan silaturahim dengan rakan-rakan berlainan bangsa. Sarawak boleh menjadi contoh perpaduan kepada seluruh Malaysia,” ujarnya.
Seorang lagi pengunjung, Abang Mukhriz, menyifatkan sambutan tersebut sebagai peluang terbaik untuk lebih memahami dan menghargai tradisi kaum lain.
“Ini satu tradisi yang menarik untuk seluruh Sarawak kerana kita mempunyai pelbagai bangsa. Saya berharap tradisi ini akan terus dikekalkan untuk generasi akan datang,” katanya.
Rata-rata pengunjung melahirkan rasa gembira dan teruja kerana dapat bersama-sama meraikan sambutan berkenaan dalam suasana harmoni dan penuh semangat kekeluargaan.
Sambutan tersebut sekali lagi membuktikan bahawa di bumi bertuah ini, perayaan bukan sekadar diraikan oleh satu kaum, tetapi dikongsi bersama menjadi simbol kekuatan perpaduan dan keharmonian rakyat Sarawak yang terus dipelihara sebagai asas kestabilan serta kemajuan negeri.-EDISI UKAS