FORHEIS Sempena Dhiya’ Ramadan 1447H Perkukuh Taqwa dan Perpaduan Ummah
SADONG JAYA: Forum Hal Ehwal Islam Sarawak (FORHEIS) sempena Program Dhiya’ Ramadan Tahun 1447H/2026M menjadi platform penting dalam memperkukuh ketaqwaan serta memupuk perpaduan dalam kalangan umat Islam menjelang kedatangan bulan Ramadan.
Program yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) itu berlangsung di Masjid Darul Iman Sadong Jaya, pada Isnin dengan penuh pengisian ilmiah dan rohani.
Forum tersebut menghimpunkan pemimpin masyarakat, pegawai agensi agama serta komuniti setempat bagi memperkukuh persediaan rohani umat Islam menjelang Ramadan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Datuk Ir Aidel Lariwoo.
Forum berkenaan menampilkan barisan panel berpengalaman terdiri daripada Pengarah JAIS Mual Suaud, Ketua Bahagian Dakwah JAIS Suharman Edward, serta Ketua Bahagian Kemajuan Keluarga Islam JAIS Jamaludin Taim.
Antara intipati utama forum ialah penekanan Ramadan sebagai bulan tarbiah rohani yang membentuk insan bertaqwa melalui ibadah puasa, solat, tadarus al-Quran dan qiamullail serta memperkukuh institusi keluarga, memperbanyakkan amalan zakat, dan sedekah bagi membantu golongan asnaf dan memperkukuh kesejahteraan masyarakat.
Forum turut menegaksan aspek perpaduan dan toleransi antara kaum menerusi semangat hormat-menghormati dan kebersamaan serta kepentingan integriti, amanah dan tadbir urus baik selaras tuntutan Islam, di samping menggalakkan usaha mengimarahkan masjid dan surau sebagai pusat pembangunan ummah.
Dalam majlis sama, JAIS menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Iman Daerah Kecil Sadong Jaya sebagai sokongan kepada usaha pengimarahan masjid dan aktiviti keagamaan setempat.-EDISI UKAS