200 Keluarga Mualaf dan Golongan Sasar Di Samariang Terima Bantuan Ramadan 2026
SAMARIANG: Seramai 200 keluarga dalam kalangan mualaf dan golongan sasar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N7 Samariang menerima bantuan menerusi Program Harapan Ramadan 2026 sebagai persediaan menyambut bulan suci itu yang bakal tiba.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata inisiatif tersebut membawa makna besar khususnya kepada golongan mualaf yang memerlukan sokongan berterusan dalam menjalani kehidupan sebagai sebahagian daripada komuniti Islam.
Menurut beliau, bantuan yang disalurkan bukan sekadar meringankan beban perbelanjaan menjelang Ramadan, malah menjadi lambang keprihatinan dan kebersamaan dalam memastikan tiada golongan yang terpinggir.
“Golongan mualaf memerlukan dokongan bukan sahaja dari sudut kebendaan, tetapi juga sokongan moral agar mereka lebih yakin dan selesa menunaikan ibadah.
“Program seperti ini memperkukuh jaringan sokongan sosial dalam komuniti serta mencerminkan komitmen berterusan untuk menjaga kebajikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Harapan Ramadan 2026 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dengan kerjasama CIMB Islamic Bank di Masjid Ikhwanul Islam Takan Sukma, Kuching pada Ahad.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang menegaskan sentiasa terbuka untuk memperluas kerjasama strategik bersama pelbagai agensi dan institusi korporat bagi melaksanakan lebih banyak program berimpak tinggi kepada masyarakat setempat.
Tambahnya, pembangunan masyarakat perlu dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi aspek sosial, kesejahteraan komuniti dan pengukuhan institusi kekeluargaan selari dengan aspirasi pembangunan Sarawak yang inklusif.
Sementara itu, Pengarah Perbankan Komersial CIMB Islamic Bank, Rahmatullah Edrus memaklumkan bahawa Program Harapan Ramadan 2026 merupakan sebahagian daripada inisiatif nasional dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.22 juta.
Menurut beliau, program tersebut meliputi lebih 100 lokasi di 14 negeri di seluruh negara, manakala pelaksanaan di Sarawak menjadi antara destinasi awal dalam siri jelajah pengagihan bantuan yang akan diteruskan ke beberapa kawasan lain dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata, sumbangan yang diberikan diharap dapat membantu penerima membuat persiapan sewajarnya bagi menyambut Ramadan dengan lebih tenang dan teratur.
Pada masa sama, masyarakat turut diingatkan agar menjaga kesihatan serta membuat persediaan rohani supaya ibadah puasa dapat dilaksanakan dengan sempurna dan penuh keberkatan.-EDISI UKAS