Kunjungan Rumah Terbuka TBC Erat Hubungan, Cerminkan Keharmonian Sarawak
DEBAK: Tradisi kunjung-mengunjung sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) terus menjadi wadah memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sarawak, sekali gus mencerminkan keharmonian yang menjadi tunjang kekuatan negeri ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap ADUN Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, budaya ziarah ketika musim perayaan bukan sekadar amalan turun-temurun, malah lambang kesepaduan rakyat yang hidup dalam suasana saling menghormati walaupun berbeza latar belakang kaum dan agama.
Menurut beliau, perpaduan yang dikecapi hari ini lahir daripada nilai toleransi serta persefahaman yang sentiasa dipelihara dalam kehidupan bermasyarakat.
“Perpaduan yang kita nikmati hari ini adalah hasil sikap saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.
“Semangat inilah yang menjadikan Sarawak contoh terbaik keharmonian masyarakat berbilang kaum,” katanya ketika mengadakan kunjungan rumah terbuka Tahun Baharu Cina di beberapa kediaman masyarakat Cina di sekitar Debak, pada Selasa.
Beliau menegaskan, tradisi rumah terbuka turut berperanan sebagai platform merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat, selain menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti.
Katanya, budaya saling berkunjung perlu terus diperkasa kerana ia menjadi asas penting kepada kestabilan sosial serta kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Antara kediaman yang diziarahi ialah rumah Lim Yang Yang, Kapitan Tan Xiao Ping serta beberapa keluarga komuniti Cina di kawasan perumahan berkenaan.
Turut mengiringi kunjungan tersebut ialah Temenggong Melayu Bahagian Betong Piee Alwi, Penolong Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Debak Mohamad Khairurani Mohamad Ibrahim, Penghulu Abang Kifrawi Abang Rukaili, Penghulu Raduan Mos serta barisan Ketua Kaum Daerah Kecil Debak.-EDISI UKAS