Rakyat Diseru Rebut Peluang Pembangunan Seiring Kemajuan Infrastruktur
LAWAS: Rakyat di kawasan ini diseru agar bersedia dan merebut peluang pembangunan yang bakal dilaksanakan, selaras dengan pelbagai projek infrastruktur dan ekonomi yang dirancang untuk memacu kemajuan setempat.
Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong berkata, beberapa projek sedang dan akan dilaksanakan di kawasan Trusan termasuk pembesaran jalan kepada empat lorong, pembinaan satu lagi Jambatan Trusan serta Jambatan Siang-Siang.
Selain itu, projek lapangan terbang baharu, pelabuhan laut dalam di Kuala Lawas, pembinaan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) serta jalan Ba’kelalan ke sempadan Indonesia bakal memberi limpahan ekonomi yang besar.
"Kemajuan akan ada, tetapi jika rakyat tempatan tidak berbuat apa-apa dan hanya melihat, peluang itu mungkin terlepas.
"Oleh itu, kita perlu bersedia dan mengambil peluang dengan kemudahan yang ada untuk memajukan ekonomi masing-masing,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) di kediaman Penghulu Liaw Soon Teck, Trusan, pada Selasa.
Tambah beliau, kemajuan infrastruktur perlu disambut dengan kesiapsiagaan rakyat tempatan agar tidak sekadar menjadi pemerhati kepada perubahan yang berlaku.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, sambutan Tahun Baru Cina bukan hanya diraikan oleh masyarakat Tionghua, malah menjadi perayaan seluruh rakyat Malaysia yang mencerminkan keharmonian dan perpaduan.
"Kita mahu kerjasama sebegini supaya kita dapat bekerjasama antara satu sama lain, bukan sahaja untuk perpaduan malah dalam aspek pembangunan,” katanya. -EDISI UKAS