D’Drift Edisi Ke-7 Susur Jalan Pesisir, Martabat Warisan & Cerita Komuniti
KUCHING: Program penulisan kembara tahunan anjuran DayakDaily, D’Drift, kembali untuk edisi ketujuh dengan memberi fokus kepada penerokaan Jalan Pesisir Sarawak sebagai platform mengangkat kisah warisan, legenda serta kehidupan masyarakat setempat.
Majlis pelepasan D’Drift 2026: Tracing Stories Along the Coastal Road telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Rabu.
Dalam sidang media selepas majlis tersebut, beliau menyifatkan kesinambungan penganjuran D’Drift sebagai bukti komitmen berterusan dalam mempromosikan keunikan Sarawak melalui pendekatan kreatif dan dekat dengan masyarakat.
Menurut beliau, pendekatan turun padang dengan menyelami sendiri pengalaman di lokasi sebenar mampu memberi dimensi lebih bermakna kepada usaha promosi pelancongan negeri.
“Apabila pasukan berada di lapangan, merasai sendiri makanan tempatan, budaya dan cara hidup masyarakat, kemudian mengolahnya dalam bentuk penulisan, ia menjadi kaedah promosi yang lebih autentik dan berkesan.
“Pendekatan ini bukan sahaja memperkenalkan Sarawak kepada pelancong luar, malah membantu rakyat tempatan serta masyarakat dari negeri lain memahami kepelbagaian warisan yang kita miliki,” katanya.
Beliau turut memuji inisiatif penerbitan buku hasil ekspedisi D’Drift serta usaha mengedarkannya ke sekolah dan komuniti luar bandar.
Katanya, usaha tersebut memberi impak besar khususnya kepada kawasan yang mempunyai akses terhad kepada bahan bacaan.
“Tidak semua kawasan mempunyai kemudahan perpustakaan atau bahan rujukan mencukupi. Sumbangan buku kepada sekolah dan komuniti luar bandar mampu menyemarakkan minat membaca serta memperluas pengetahuan, termasuk di kawasan pedalaman,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan lebih banyak syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil menyumbang bahan bacaan, termasuk buku terpakai yang masih berkualiti, bagi disalurkan kepada komuniti yang memerlukan melalui platform berkenaan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Morshidi Fredrick serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DayakDaily Jason Tan.-EDISI UKAS