100 Keluarga Mualaf, Asnaf DUN Muara Tuang Terima Sumbangan Program Harapan Ramadan
KOTA SAMARAHAN: Seramai 100 keluarga dalam kalangan mualaf dan golongan sasar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang menerima bantuan menerusi Program Harapan Ramadan 2026 sebagai persediaan menyambut ketibaan bulan suci Ramadan.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang, berkata program seumpama itu wajar diteruskan kerana memberi impak besar kepada kebajikan masyarakat khususnya asnaf dan saudara baharu.
Menurut beliau, program berkenaan merupakan hasil kerjasama strategik antara Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan CIMB Islamic Bank Berhad dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan menjelang Ramadan dan Syawal.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan wakilnya, Aziz Mohamad semasa program tersebut, di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan penerima agar memanfaatkan sumbangan yang diterima sebaik mungkin serta menggunakannya untuk keperluan keluarga sepanjang Ramadan, selain mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan masyarakat.
Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pelaburan dan Penajaan YADIM Putrajaya, Mohammad Hafez Azmi, berkata program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan YADIM dalam mendekati masyarakat melalui pendekatan kebajikan, pendidikan dan kesedaran sosial.
Menurut beliau, program Harapan Ramadan 2026 telah dilancarkan sehari sebelumnya di Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma, Kuching, yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Sebanyak 700 agihan sumbangan akan disalurkan di enam lokasi terpilih seluruh negeri Sarawak, termasuk di Kota Samarahan, bagi membantu golongan asnaf dan mereka yang memerlukan membuat persiapan Ramadan dengan lebih sempurna.
Hadir sama, Penolong Pengarah YADIM Negeri Sarawak Nurlaila Azman, Pemanca Masyarakat Melayu Daerah Samarahan Seli Hassan, wakil Pejabat Daerah Samarahan Faizal Asi serta Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al-Muttaqin Bahagian Samarahan Hamsein Atta. -EDISI UKAS