Kuih-Muih Warisan Terus Jadi Pilihan di Bazar Ramadan
KUCHING: Di sebalik lambakan menu juadah moden berinspirasikan luar negara di Bazar Ramadan, namun kuih-muih warisan tempatan terus menjadi nadi utama pergerakan ekonomi kecil masyarakat khususnya dalam kalangan peniaga tempatan yang bergantung kepada jualan bermusim sepanjang Ramadan.
Permintaan tinggi terhadap kuih seperti bongkol, kosui pandan dan celorot bukan sahaja mencerminkan kecenderungan selera masyarakat, malah menjadi sumber pendapatan penting kepada peniaga kecil yang mengekalkan resipi turun-temurun keluarga.
Beberapa jenis kuih dilaporkan habis terjual seawal jam 4 petang, sekali gus menunjukkan daya tahan produk tradisional dalam persaingan pasaran yang semakin kompetitif.
Tinjauan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) mendapati kesinambungan minat masyarakat terhadap kuih warisan memberi keyakinan kepada peniaga untuk terus mengekalkan identiti tempatan dalam perniagaan mereka.
Seorang peniaga, Danish Syahir berkata gerainya menawarkan gabungan kuih moden dan tradisional, namun tarikan utama masih terarah kepada kuih tempatan yang sarat nilai nostalgia.
“Kami menjual pelbagai jenis kuih, merangkumi kuih tradisional dan juga kuih moden. Antara kuih tradisional yang ditawarkan ialah kuih selorot dan kuih tako, manakala kuih moden pula termasuk apam senyum dan lain-lain.
"Kuih paling laris kami iaitu kosui pandan juga telah habis kerana mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelanggan,” ujarnya sambil melayan pelanggan yang tidak putus-putus singgah.
Turut berkongsi pengalaman sama, seorang lagi peniaga, Muhd Azdzin memaklumkan kuih tradisional seperti karipap dan kuih bongkol di gerainya sentiasa menjadi rebutan, sekali gus menjadikan jualan hari pertama Ramadan amat memberangsangkan.
Namun begitu, kepelbagaian selera masyarakat hari ini turut membuka ruang kepada menu moden dari luar negara. Peniaga, Nurafida Jamahari berkata hidangan berinspirasikan masakan Korea turut mendapat sambutan hangat, khususnya dalam kalangan golongan muda.
“Sambutan masih sangat menggalakkan di mana antara menu paling laris ialah ayam Korea, sotong Korea dan sotong telur masin. Namun, sotong telur masin telah habis lebih awal kerana permintaan yang tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, rata-rata peniaga menzahirkan rasa puas hati terhadap pengurusan bazar tahun ini walaupun ia dikendalikan oleh pihak selain Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Suasana yang teratur dan kehadiran pengunjung yang ramai memberi suntikan semangat kepada para peniaga untuk terus bertahan dan berusaha sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.
Secara keseluruhannya, kemeriahan Bazar Ramadan Taman Sukma pada hari pertama puasa bukan sekadar menggambarkan kepelbagaian pilihan juadah, tetapi juga memperlihatkan bagaimana tradisi, kenangan dan harapan bersatu dalam satu ruang menghidupkan kembali makna Ramadan sebagai bulan yang menyatukan hati dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat.-EDISI UKAS