Hujan Renyai Tidak Luntur Semangat, Bazar Bandar Riyal Jadi Nadi Ekonomi Ramadan
KOTA SAMARAHAN: Hujan renyai yang turun tidak sedikit pun mematahkan semangat pengunjung untuk membanjiri Bazar Ramadan Bandar Riyal, sekali gus membuktikan sambutan Ramadan terus menyatukan komuniti dan merancakkan ekonomi setempat.
Walaupun cuaca kurang mengizinkan, orang ramai tetap berpusu-pusu membeli juadah berbuka puasa di bazar yang menempatkan 35 gerai makanan dan minuman di situ.
Tinjauan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) mendapati bazar tersebut bukan sekadar lokasi membeli makanan, malah menjadi ruang pertemuan masyarakat setempat yang menghidupkan semangat kebersamaan sepanjang bulan mulia ini.
Dari aspek pengurusan, tahap kebersihan dan keselamatan berada dalam keadaan memuaskan apabila pihak penganjur menyediakan tong sampah mencukupi serta mengingatkan peniaga agar sentiasa menjaga kebersihan gerai masing-masing.
Kawalan lalu lintas turut dipantau dengan bantuan pihak berkuasa bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar dan teratur.
Bagi peniaga, kehadiran Ramadan membuka peluang meningkatkan pendapatan serta memperluaskan rangkaian pelanggan.
Sara Hamzah, 36, yang telah 17 tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan berkata, pengalaman berniaga di pelbagai lokasi sebelum ini banyak membantu beliau mengurus jualan dengan lebih sistematik.
Kini membantu majikannya di bazar tersebut, beliau menawarkan pelbagai pilihan makanan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
“Semoga semua peniaga di sini berjaya dan terus mendapat rezeki yang baik sepanjang Ramadan,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Nur Aida, 26, yang pertama kali menyertai bazar berkenaan mengetengahkan jualan bomboloni dan donat sebagai tarikan utama.
Menurutnya, penyertaan tersebut menjadi platform memperkenalkan produk kepada masyarakat setempat dan jualan akan diteruskan sepanjang Ramadan.
Beliau menambah, perniagaan mereka turut mempunyai dua cawangan di Uni Central, Samarahan dan Ropeview, Kuching sebagai usaha memperluaskan pasaran.
Dalam pada itu, dua peniaga muda, Nur Sarfika, 22, dan Nur Syafiqah, 25, turut mengambil peluang menjana pendapatan dengan menawarkan hidangan seperti nasi ayam geprek, nasi ikan telur, nasi tilapia serta minuman air balang.
Mereka berharap sokongan masyarakat akan terus diberikan kepada peniaga tempatan walaupun keadaan cuaca tidak menentu.-EDISI UKAS