Nasi Pakistan Curi Tumpuan, Suntik Kelainan Di Bazar Ramadan Satok
KUCHING: Di celah deretan gerai yang menjual juadah tradisional dan menu kegemaran saban Ramadan, keharuman rempah yang pekat dan berbeza ternyata mencuri perhatian pengunjung ke sebuah gerai yang memperkenalkan Nasi Pakistan di Bazar Ramadan Satok.
Kelainan yang dibawa peniaga, Mohammad Fadhilah, nyata membuahkan hasil apabila menu tersebut menjadi antara hidangan unik yang mendapat sambutan hangat sejak hari pertama jualan.
Menurutnya, keputusan memperkenalkan Nasi Pakistan dibuat selepas melihat kebanyakan peniaga menawarkan juadah yang hampir sama saban tahun.
“Kami mahu cuba sesuatu yang lain. Setakat yang kami tahu, menu ini belum ada lagi di Kuching. Jadi tahun ini kami berani tampil dengan kelainan,” katanya ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Khamis.
Keistimewaan hidangan tersebut terletak pada penggunaan rempah asli dan teknik penyediaan yang dipelajari secara langsung daripada kenalan berasal dari Pakistan bagi memastikan keaslian rasa terus terpelihara.
Beliau menjelaskan, berbanding nasi beriani yang lebih biasa ditemui, Nasi Pakistan mempunyai profil rasa yang lebih mendalam dengan gabungan rempah ratus yang memberikan aroma tersendiri serta tekstur nasi yang lebih lembut dan berempah.
Sementara itu, Fazlin yang membantu di gerai berkenaan berkata, usaha mempelajari resipi tersebut bukan sesuatu yang mudah kerana mereka perlu mendapatkan tunjuk ajar khusus bagi memastikan setiap sukatan dan teknik dimasak menepati standard asal.
“Nasi Pakistan ini memang ada rempah tersendiri. Kami sanggup belajar daripada luar supaya rasa itu betul-betul asli dan pelanggan puas hati,” ujarnya.
Walaupun ini merupakan kali pertama mereka menjual hidangan tersebut di bazar Ramadan, sambutan yang diterima setakat ini amat menggalakkan dengan jualan meningkat dari hari ke hari.
Fenomena itu mencerminkan kecenderungan pengunjung yang kini semakin terbuka untuk mencuba cita rasa baharu, sekali gus memperlihatkan bahawa inovasi dan keberanian mencuba mampu memberi nafas segar kepada suasana Bazar Ramadan Satok tahun ini.-EDISI UKAS