20 Asnaf Terima Sumbangan, Semangat Ramadan Disemarakkan di Bazar Satok
KUCHING: Suasana perasmian Bazar Ramadan Satok bukan sekadar dimeriahkan dengan deretan gerai dan kepelbagaian juadah, malah turut diserikan dengan sentuhan keprihatinan apabila seramai 20 golongan asnaf dari konstituensi Satok menerima sumbangan khas sempena Ramadan.
Sumbangan berkenaan merupakan hasil kutipan terkumpul Pengurusan Surau Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sebagai usaha meringankan beban penerima dalam membuat persiapan menjelang dan sepanjang bulan mulia ini.
Datuk Bandar Kuching Utara, Dato’ Hilmy Othman berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan pihak DBKU dalam memastikan kebajikan golongan memerlukan terus diberi perhatian.
“Sumbangan asnaf ini adalah usaha daripada pihak DBKU. Seramai 20 penerima hari ini adalah dari kawasan Satok.
“Kita mempunyai program tersendiri untuk mengagihkan sumbangan kepada golongan asnaf dan mereka yang kurang bernasib baik,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Bazar Ramadan Satok pada Khamis.
Menurut beliau, program berkenaan turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk wakil parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersama-sama menyumbang bagi menjayakan inisiatif kebajikan tersebut.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan penganjuran Bazar Ramadan bukan sahaja menjadi platform merancakkan ekonomi setempat, malah dimanfaatkan sebagai ruang melaksanakan tanggungjawab sosial korporat yang menyemarakkan semangat kebersamaan dan perkongsian rezeki.
Pada tahun ini, DBKU telah meluluskan lebih 1,000 ruang perniagaan di lokasi utama termasuk Bazar Satok, Sukma Ria dan Semarak bagi memastikan kapasiti mencukupi serta memberi peluang kepada lebih ramai peniaga menjana pendapatan.
Penekanan turut diberikan kepada aspek pengurusan lalu lintas bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan aliran keluar masuk pengunjung lebih teratur sepanjang tempoh operasi bazar.
Selain itu, DBKU turut membuka ruang kepada perniagaan kecil secara persendirian di beberapa kawasan sebagai usaha memperluas peluang kepada usahawan kampung serta menambah variasi pilihan juadah berbuka puasa.
Dari sudut keselamatan makanan, beliau menegaskan aspek kebersihan sentiasa menjadi keutamaan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), termasuk pelaksanaan pengambilan sampel makanan secara berkala bagi memastikan tiada isu keselamatan atau keracunan makanan berlaku.
Program penyampaian sumbangan kepada asnaf tersebut memperlihatkan bahawa Ramadan bukan sekadar tentang kemeriahan bazar dan limpahan juadah, sebaliknya menjadi medan memperkukuh nilai empati, kebajikan dan solidariti dalam kalangan masyarakat.-EDISI UKAS