KUCHING: Bazar Ramadan Satok kembali menjadi tumpuan warga kota apabila ia dirasmikan hari ini dengan penyertaan lebih ramai peniaga berbanding tahun lalu, sekali gus menyemarakkan suasana Ramadan serta menggerakkan ekonomi setempat.
Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad & PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki berkata, bazar berkenaan merupakan tradisi tahunan yang bukan sahaja menyemarakkan sambutan Ramadan, malah membuka peluang pendapatan kepada penjaja tempatan.
Menurut beliau, sebanyak 108 gerai beroperasi tahun ini, meningkat berbanding tahun lalu dengan kebanyakan peniaga terdiri daripada penduduk sekitar Satok.
“Bazar Ramadan memberi peluang kepada peniaga kecil mencari nafkah sepanjang bulan Ramadan, selain membantu merancakkan ekonomi kecil-kecilan di kawasan ini.
“Dalam masa sama, kita mahu mengekalkan tradisi supaya Satok sentiasa meriah walaupun pada bulan puasa dengan kehadiran masyarakat pelbagai latar belakang yang datang membeli juadah,” katanya kepada pemberita semasa menyempurnakan perasmian bazar tersebut pada Khamis.
Datuk Ibrahim turut menasihatkan peniaga agar tidak menaikkan harga secara keterlaluan serta sentiasa menjaga kualiti dan kebersihan makanan.
Dalam majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 20 asnaf di DUN Satok yang merupakan hasil sumbangan terkumpul daripada pengurusan surau Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian penerima khususnya pada bulan Ramadan.
Bazar Satok yang beroperasi bermula dari jam 2 petang hingga 7 petang terdiri daripada 82 tapak jualan makanan, 22 tapak jualan minuman serta empat tapak jualan makanan panggang.
Turut hadir ialah Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman.-EDISI UKAS