SABERKAS Buka Penyertaan 82 Cawangan Sertai Kejohanan Futsal Piala Presiden
KUCHING: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) membuka penyertaan kepada 82 cawangannya di seluruh Sarawak bagi menyertai Kejohanan Futsal Piala Presiden SABERKAS 2026 yang akan berlangsung pada 1 hingga 3 Mei depan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sukan, Rekreasi dan Kebudayaan SABERKAS Datuk Gerald Rentap Jabu menggalakan setiap cawangan menghantar satu pasukan bagu menyertai kejohanan yang julung kali diadakan itu.
“Kita akan membuka penyertaan kepada 82 cawangan SABERKAS dan kita menggalakkan satu cawangan SABERKAS menghantar satu pasukan di mana pasukannya adalah mesti daripada ahli-ahli SABERKAS daripada cawangan.
“Tarikh penutupan penyertaan adalah pada 30 Mac ini,” katanya dalam sidang media berhubung kejohanan tersebut di Bangunan Baitulmakmur II di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Datuk Gerald memaklumkan, johan kejohanan berkenaan bakal menerima wang tunai RM7,000 berserta piala iringan, medal dan sijil penyertaan, manakala naib johan menerima RM5,000 dan tempat ketiga bersama memperoleh RM3,000.
Beliau menambah, empat pasukan yang mara ke suku akhir turut menerima wang tunai RM1,000 setiap satu, selain anugerah khas pemain terbaik, penjaga gol terbaik dan penjaring terbanyak dengan hadiah wang tunai RM200 serta piala iringan.
Menurut beliau, perlawanan peringkat awal hingga suku akhir akan diadakan di Kuching, manakala perlawanan akhir dijadual berlangsung di Kompleks Sukan Samarahan.-EDISI UKAS