Op Selamat 25: JPJ–PDRM Perkasa Advokasi Keselamatan Jalan Raya di Lawas
LAWAS: Usaha memperkukuh kesedaran keselamatan jalan raya terus dipergiat menerusi Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya bersempena Op Selamat Ke-25 Tahun Baharu Cina 2026 dan Ramadan yang berlangsung di hadapan SMK Lawas, baru-baru ini.
Program anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas itu menghimpunkan pelbagai agensi penguat kuasa bagi menyampaikan mesej kepatuhan undang-undang jalan raya, khususnya sepanjang musim perayaan dan bulan Ramadan yang lazimnya menyaksikan peningkatan pergerakan kenderaan.
Majlis tersebut dirasmikan Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong yang menegaskan bahawa keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama dan memerlukan komitmen berterusan semua pihak.
“Sebagai pengguna jalan raya, kita bertanggungjawab menjaga keselamatan nyawa. Kerjasama erat antara rakyat dan pihak berkuasa perlu dikekalkan agar kesejahteraan masyarakat sentiasa terjamin,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan memaklumkan Op Selamat yang bermula 15 Februari lalu setakat ini tidak merekodkan sebarang kemalangan di daerah berkenaan, sekali gus mencerminkan tahap pematuhan yang baik dalam kalangan pengguna.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta sentiasa mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Menurutnya, satu unit khas keselamatan jalan raya turut diwujudkan bagi mempergiat rondaan sepanjang Ramadan, terutama di kawasan tumpuan awam dan pintu sempadan bagi memastikan kelancaran trafik serta mencegah sebarang insiden.
Antara agensi terlibat ialah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia, selain agensi berkaitan di peringkat negeri.-EDISI UKAS