Majlis Santai Sukan Anggun Budaya Kukuh Perpaduan Penduduk Kampung Sedaing
LUNDU: Penganjuran Majlis Santai Sukan Anggun Budaya sekali lagi menjadi wadah penting dalam memperkukuhkan perpaduan serta keharmonian penduduk Kampung Sedaing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang, berkata program seumpama ini amat signifikan dalam memupuk semangat kebersamaan, menggalakkan gaya hidup sihat serta memelihara warisan seni dan budaya masyarakat kampung.
Menurut beliau, pengisian program yang merangkumi acara sukan santai, persembahan kebudayaan serta pertandingan seperti Ratu Kebaya dan Jejaka Tampan bukan sahaja mencungkil bakat dan potensi penduduk, malah menjadi platform terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti tanpa mengira usia dan latar belakang.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program berkenaan di sini, pada Jumaat.
Tambah beliau, peranan aktif jawatankuasa penganjur serta penglibatan golongan belia dan wanita merupakan pemangkin penting kepada pembangunan sosial serta keharmonian masyarakat di peringkat akar umbi.
Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai acara sampingan termasuk cabutan nama bertuah, cabutan nombor bertuah serta sesi karaoke yang menambahkan lagi kemeriahan dan penyertaan penduduk setempat.
Billy berharap usaha murni seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdaya saing serta sentiasa menghargai nilai budaya yang diwarisi sejak turun-temurun. -EDISI UKAS