VM2026 Pemangkin Ekonomi Tempatan, Perlu Kerjasama Semua Pihak
SIBU: Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) diyakini berupaya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi tempatan, khususnya di Sarawak dan Sibu, sekiranya usaha promosi dilaksanakan secara bersepadu oleh semua pihak.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Bintulu Dato Sri Tiong King Sing berkata, kerjasama melibatkan komuniti, peniaga, agensi kerajaan dan pelancong penting bagi memastikan manfaat VM2026 dapat dinikmati secara menyeluruh oleh masyarakat.
“Ini merupakan peluang yang amat baik untuk merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan dan pembangunan industri pelancongan agar peniaga, penyedia perkhidmatan serta penduduk setempat dapat menikmati manfaatnya.
“Untuk merealisasikannya, setiap daripada kita perlu memainkan peranan dengan penuh komitmen, seiring sejalan dan berganding bahu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina anjuran United Chinese Association (UCA) Sibu yang diadakan di Hotel Kingwood, di sini, pada Jumaat.
Dato Sri Tiong menambah, masyarakat perlu mengekalkan sikap profesional dan layanan mesra terhadap pelawat, di samping mengamalkan nilai kejujuran, semangat saling membantu dan tanggungjawab sosial bagi memperkukuh imej negara.
Beliau turut berpandangan bahawa kerjasama berterusan semua pihak mampu menjadikan Sibu sebagai destinasi pelancongan pilihan, sekali gus menyumbang kepada pembentukan bandar yang lebih bersatu padu, makmur dan sejahtera.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong turut menekankan peranan pertubuhan masyarakat termasuk persatuan Cina dalam memperkukuh perpaduan melalui kerjasama antara organisasi, pemerkasaan belia dan wanita serta kesinambungan kepimpinan demi pembangunan jangka panjang yang mampan.
Pada majlis berkenaan, Dato Sri Tiong turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada UCA Sibu bagi menyokong pelaksanaan program kemasyarakatan khususnya bersempena VM2026.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap ADUN Pelawan Datuk Michael Tiang Ming Tee, ADUN Bukit Assek Chieng Jin Ek, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Lanang Alice Lau Kiong Yieng, ADUN Bawang Assan Wong Soon Koh, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Joshua Ting Fu Ying, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting, Pengerusi Persatuan Klan Zhuang & Ngieng Sibu merangkap Pengerusi Penganjur Ngieng Hock Teck serta jemputan yang lain.-EDISI UKAS