PSSS Perkasa Sokongan Kesihatan Mental, Dekati Komuniti Secara Profesional
KUCHING: Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) terus memperkukuh peranannya sebagai ruang selamat bagi masyarakat mendapatkan khidmat kaunseling, nasihat dan sokongan secara profesional khususnya dalam menangani isu kesihatan mental yang semakin mendapat perhatian.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, kesihatan mental perlu diberi keutamaan setara dengan kesihatan fizikal kerana setiap individu pasti berdepan tekanan serta cabaran kehidupan.
Menurutnya, terdapat kes jenayah berat yang dikenal pasti berpunca daripada masalah kesihatan mental yang tidak ditangani dengan sewajarnya.
“Apabila berlaku insiden seperti membunuh ahli keluarga sendiri atau orang lain, kebanyakan kita dapati ia berpunca daripada masalah kesihatan mental.
“Justeru, kita perlu sama-sama mengambil tanggungjawab menjaga antara satu sama lain termasuk dalam kalangan jiran, supaya kita peka dengan apa yang berlaku di sekeliling kita.
“Sebab itu kita menguatkan aktiviti dan program pusat sokongan sosial ini,” katanya ketika berucap semasa Program Mindness Tour: Kaunseling Kasih PSSS Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Dewan Serbaguna Kampung Selabat, Demak Laut pada Sabtu.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Santubong itu memaklumkan seramai 600 penerima zakat di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjong Datu, Pantai Damai dan Demak Laut telah dikenal pasti untuk menerima bantuan.
Selain itu, sebanyak 1,033 bakul makanan turut disumbangkan oleh Yayasan Kebajikan Negara, PEKEMA dan PETRONAS bagi membantu golongan memerlukan.
"Di Kampung Selabat dan kawasan sekitarnya, seramai 77 penerima asnaf daripada 11 buah kampung menerima bakul makanan daripada Yayasan Kebajikan Negara sebagai simbol keprihatinan dan sokongan berterusan.
“Bantuan seperti ini bukan sekadar memenuhi keperluan harian, tetapi turut menyuntik harapan dan kekuatan kepada masyarakat.
“Ia mencerminkan usaha berterusan kerajaan bersama rakan strategik dalam memastikan tiada sesiapa yang terpinggir, selain memperkasa setiap komuniti secara menyeluruh,” katanya.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Mohd Safizul Fa'izad Paisan