100 Keluarga Mualaf & Asnaf Terima Sumbangan Program Harapan Ramadan
SEBUYAU: Dalam suasana penuh kebersamaan dan kasih sayang menjelang Ramadan, seramai 100 keluarga dalam kalangan mualaf dan golongan asnaf di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau menerima sumbangan menerusi Program Harapan Ramadan 2026 di Masjid Al-Muflihin Sebuyau, pada Sabtu.
Program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bersama CIMB Islamic itu menghimpunkan kira-kira 150 penduduk setempat, bukan sekadar untuk menerima bantuan, tetapi merasai sentuhan kemanusiaan yang menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, program berkenaan merupakan hasil kerjasama strategik antara YADIM dan CIMB Islamic Bank Berhad dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan menjelang Ramadan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta berharap sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban penerima dalam membuat persiapan Ramadan.
“Ramadan adalah bulan rahmat dan keprihatinan. Kita mahu pastikan tiada keluarga yang terpinggir, khususnya saudara-saudara baharu dan golongan asnaf yang memerlukan sokongan berterusan,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah YADIM Negeri Sarawak, Nurlaila Azman berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan YADIM dalam mendekati masyarakat melalui pendekatan kebajikan, pendidikan dan kesedaran sosial.
Pada awal pagi, suasana masjid diimarahkan dengan acara bergotong-royong memasak bubur As-Syura, memperlihatkan semangat ukhuwah yang kental dalam kalangan penduduk.
Program turut diserikan dengan Ceramah Ihya Ramadan bertajuk “Bulan Rahmat Seribu Berkah” yang disampaikan oleh Ustaz Zamri Mohamad, Zamalah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Acara kemuncak menyaksikan penyampaian bakul makanan kepada 100 penerima dalam kalangan asnaf dan saudara kita di kawasan Sebuyau.
Turut diadakan penyampaian bubur As-Syura kepada para penerima sebagai simbol kebersamaan dan kasih sesama insan.
Turut hadir ialah wakil Pegawai Daerah Sebuyau, Ajis Ahmad dan Pemanca Asli Yahya.-EDISI UKAS