Tiada Yang Terpinggir, Program Harapan Ramadan Santuni Mualaf & Asnaf
ASAJAYA: Dalam suasana penuh keinsafan dan kehangatan menjelang waktu berbuka, seramai 100 individu terdiri daripada golongan saudara kita dan asnaf di kawasan Asajaya menerima sumbangan menerusi Program Harapan Ramadan YADIM–CIMB Islamic di Masjid An Najah Asajaya.
Majlis penyerahan sumbangan bakul makanan tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa inisiatif seumpama ini merupakan manifestasi keprihatinan pihak korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu meringankan beban golongan sasar sebagai persiapan menyambut bulan suci Ramadan.
“Ramadan bulan keberkatan, bulan yang mengajak kita untuk memperbanyakkan bersedekah.
"Bulan solidariti sosial dan memberi keprihatinan kepada mereka yang memerlukan. Saya berharap program seumpama ini boleh dijadikan contoh terbaik dan diteruskan pada masa akan datang,” katanya semasa majlis berkenaan pada Jumaat.
Program itu merupakan hasil kerjasama strategik antara Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan CIMB Islamic Bank Berhad, sekali gus membuktikan sinergi antara sektor awam, swasta dan komuniti dalam memperkukuh jaringan kebajikan di peringkat akar umbi.
Terdahulu, Pengarah YADIM Negeri Sarawak, Awang Dulhadi Awang Mat memaklumkan bahawa sumbangan kali ini melibatkan 100 penerima dari lapan buah kampung di Daerah Asajaya dengan majoritinya terdiri daripada saudara kita.
“Pihak kami berharap sumbangan ini mampu meringankan beban keluarga yang terlibat, khususnya dalam membuat persiapan Ramadan,” ujar beliau.
Selain pengagihan bantuan, pengisian rohani turut diadakan bagi menyuntik kekuatan spiritual para hadirin menerusi Ceramah Ihya Ramadan bertajuk “Ramadan: Madrasah Rohani Ummah” yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Ustaz Wardi Azman.
Ceramah tersebut menekankan kepentingan Ramadan sebagai medan membina kesabaran, meningkatkan ketakwaan dan memperkukuh ukhuwah dalam masyarakat.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, Penghulu Asajaya, Dallan Man, Ulu, Pengerusi Masjid An Najah Asajaya, Razali Leman serta tetamu lain.-EDISI
UKAS