LUBOK ANTU: Komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan ekonomi luar bandar terus dizahirkan apabila Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh meluluskan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pekan Lubok Antu sempena kunjungan Tahun Baharu Cina di sini pada Sabtu.
Peruntukan tersebut bertujuan menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan serta program pembangunan komuniti yang diyakini mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat, khususnya di Pekan Lubok Antu.
Menurut beliau, JKKK berperanan sebagai pemacu pembangunan di peringkat akar umbi, termasuk menyelaras inisiatif ekonomi berskala kecil, aktiviti keusahawanan dan program sosial yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Kita mahu memastikan setiap komuniti, termasuk di kawasan luar bandar seperti Lubok Antu, terus menikmati limpahan pembangunan ekonomi yang sedang pesat dilaksanakan di seluruh Sarawak,” katanya semasa kunjungan ke kediaman Kapitan Corina Tay yang juga Pengerusi JKKK Pekan Lubok Antu.
Beliau menegaskan, pembangunan ekonomi yang inklusif perlu bergerak seiring dengan usaha memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum, selaras dengan semangat muafakat yang menjadi teras kestabilan serta kemajuan Sarawak.
Kunjungan sempena sambutan Tahun Baharu Cina itu bukan sahaja mengeratkan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat Tionghua setempat, malah menjadi platform penting untuk mendengar sendiri pandangan serta keperluan komuniti bagi memperkasa agenda pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan berkenaan.-EDISI UKAS