SKAS Suntik Kelegaan Buat Rakyat, Ringankan Beban Kenaikan Harga Barang
KUCHING: Di sebalik peningkatan harga barang yang semakin dirasai, inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) hadir sebagai sinar kelegaan buat rakyat negeri ini khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang berdepan tekanan kos sara hidup.
Inisiatif kebajikan Kerajaan Sarawak itu bukan sekadar bantuan kewangan, malah menjadi talian hayat bagi keluarga yang bergelut mengimbangi perbelanjaan dapur, keperluan harian dan komitmen bulanan.
Tinjauan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Bazar Ramadan Stutong mendapati ramai penerima meluahkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan negeri yang terus memperkukuh kadar bantuan tahun ini.
Bagi Siti Aida Alek, SKAS memberi perubahan nyata dalam perbelanjaan keluarganya.
"Sejak menerima SKAS, perubahan paling ketara dalam perbelanjaan harian kami ialah kami kini boleh membeli lebih banyak barang keperluan berbanding sebelum ini.
"Dengan peningkatan harga barang, alhamdulillah, bantuan SKAS banyak meringankan beban, terutamanya untuk membeli barang dapur dan keperluan harian seluruh rumah,” ujarnya dengan nada penuh kesyukuran.
Beliau juga berharap bantuan seumpama itu dapat diteruskan, khususnya bagi membantu golongan B40 yang paling terkesan dengan kenaikan harga barangan asas.
Pandangan sama dikongsi Jayaramen Govindan yang menyifatkan SKAS sebagai bantuan bersifat inklusif kerana boleh dimanfaatkan di bandar mahupun luar bandar.
"Buat masa sekarang, bantuan SKAS ini memang banyak membantu dan ini khas untuk Sarawak. Jadi, sebagai rakyat Sarawak, kita semua bersyukur,” ujarnya ringkas.
Bagi Aliff Sirajuddin yang menerima SKAS kategori bujang, bantuan tersebut memudahkannya mengurus perbelanjaan harian tanpa terlalu membebankan kewangan peribadi.
"Untuk pembelian, ia memudahkan saya dari segi pembelanjaan saya dan bantuan memang membantulah untuk membeli barang-barang keperluan seperti yang disenaraikan di dalam SKAS,” katanya.
Tahun ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengumumkan peningkatan kadar bantuan SKAS sebagai langkah memperkukuh jaringan keselamatan sosial negeri.
Kategori isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah kini menerima peningkatan bantuan daripada RM800 kepada RM950 setahun, dengan setiap pembayaran berjumlah RM316.
Warga emas tanpa pasangan atau anak dengan pendapatan RM5,000 dan ke bawah pula menerima peningkatan daripada RM400 kepada RM500 setahun (RM166 setiap pembayaran), manakala individu bujang berpendapatan RM2,500 dan ke bawah menikmati kenaikan daripada RM250 kepada RM300 setahun, bersamaan RM100 setiap pembayaran.
Peningkatan ini mencerminkan iltizam berterusan Kerajaan Sarawak untuk memastikan tiada rakyat tercicir, terutama ketika tekanan kos sara hidup semakin mencabar.
SKAS bukan sekadar angka dalam belanjawan, tetapi bukti keprihatinan yang dirasai terus di meja makan dan dapur rakyat. –EDISI UKAS