SIBURAN: Sebanyak 38 projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) melibatkan peruntukan keseluruhan RM5 juta telah diluluskan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat, sekali gus memperkukuh agenda pembangunan luar bandar di kawasan berkenaan.
Surat pemakluman kelulusan projek diserahkan kepada 38 penerima yang terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam satu majlis di Tapah, Siburan yang disempurnakan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan kelulusan kesemua projek itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan luar bandar dilaksanakan secara menyeluruh, inklusif dan memberi impak langsung kepada rakyat.
Menurutnya, projek yang diluluskan merangkumi kerja naik taraf, baik pulih serta pembinaan baharu kemudahan awam dan infrastruktur asas yang amat diperlukan penduduk setempat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat mendedahkan antara projek utama ialah naik taraf bilik gerakan JKKK, balai raya dan dewan kampung di beberapa lokasi termasuk Kampung Senah Rayang, Kampung Pesa, Kampung Gayu, Kampung Subang, Kampung Patung dan Kampung Simpok.
Selain itu, projek pembinaan baharu melibatkan stor pertanian di Kampung Chupak, pondok memasak di Kampung Stabut, dewan di Kampung Plaman Toop (Fasa 2) serta rumah rehat di Kampung Stabut.
Turut diluluskan ialah projek naik taraf masjid, tanah perkuburan, taman rekreasi, padang bola sepak, sistem perparitan serta jalan kampung di beberapa kawasan lain termasuk Kampung Darul Islam Belimbing, Kampung Pesang, Kampung Rudan, Kampung Sinjok, Kampung Plaman Payang dan Kampung Baru Mawang.
Pelaksanaan 38 projek berkenaan dijangka memberi limpahan manfaat menyeluruh kepada komuniti setempat, sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar di DUN Tarat. - EDISI UKAS