Ambulans Pertama BSMM Sri Aman Perkukuh Akses Kesihatan Luar Bandar
SIMANGGANG: Selepas sekian lama menanti, Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Daerah Sri Aman akhirnya memiliki ambulans pertama bernilai RM200,000, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan komuniti khususnya di kawasan luar bandar.
Pengerusi BSMM Daerah Sri Aman, Isaac Stalin Simon berkata, perolehan ambulans tersebut hasil sumbangan The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints dan dijangka memberi impak besar terhadap penyampaian perkhidmatan kesihatan di peringkat komuniti.
Menurutnya, ambulans berkenaan merupakan kenderaan bukan kecemasan yang akan digunakan untuk membawa pesakit mendapatkan rawatan di klinik atau hospital, selain menyokong tugasan pertolongan cemas ketika acara sukan dan program komuniti.
“Keperluan terhadap pengangkutan pesakit khususnya bagi warga emas, pesakit kronik dan individu kurang berkemampuan amat signifikan di daerah ini.
“Dengan adanya ambulans ini, urusan membawa pesakit untuk rawatan menjadi lebih teratur dan selamat,” katanya.
Beliau berkata, hasrat memiliki ambulans sendiri telah disuarakan sejak sambutan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia 2024 sebelum direalisasikan pada Oktober 2025 melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk syarikat automotif, Toyota.
Perasmian khidmat ambulans baharu itu disempurnakan Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie di pusat operasi pertubuhan berkenaan pada Sabtu.
Sementara itu, Dato’ Sri Doris berkata penambahan aset berkenaan mencerminkan komitmen berterusan BSMM dalam memperkukuh jaringan sokongan kesihatan di peringkat akar umbi.
“Perkhidmatan seperti ini amat penting bagi memastikan tiada masyarakat tercicir daripada menerima rawatan, terutama golongan terkesan dan mangsa bencana.
“Saya berharap lebih banyak pihak termasuk sektor korporat tampil menyokong usaha murni ini demi memperkasa perkhidmatan kesihatan serta latihan sukarelawan di Sri Aman,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan RM10,000 daripada Pusat Khidmat Parlimen Sri Aman bagi menyokong operasi BSMM Daerah Sri Aman dalam memperluas khidmat kesihatan kepada masyarakat setempat. - EDISI UKAS