Program Jelajah Ramadhan Satok Terus Santuni Golongan Asnaf
KUCHING: Program Jelajah Ramadhan dan Ihsan Ramadhan Satok 2026M/1447H anjuran Biro Agama PBB Cawangan DUN Satok telah diadakan di Surau Darul Uyuun, Kampung No.3 pada malam Sabtu.
Program yang berlangsung dari jam 9.15 malam hingga 10.30 malam itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki.
Bersempena bulan Ramadhan yang mulia dan penuh keberkatan, program berkenaan merupakan kesinambungan inisiatif tahunan bagi menyantuni masyarakat setempat khususnya golongan yang memerlukan.
Pada majlis tersebut, Datuk Ibrahim telah menyampaikan sumbangan kepada 15 penduduk kampung yang dikategorikan sebagai asnaf bagi membantu meringankan beban mereka dalam membuat persiapan sepanjang bulan Ramadhan.
Menurut beliau, amalan bersedekah dan berkongsi rezeki dalam bulan Ramadhan bukan sahaja dapat membantu golongan kurang berkemampuan, malah mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat di peringkat akar umbi.
Dalam majlis sama, beliau turut menyerahkan sumbangan kepada Pemanca Kawasan Selatan Tebing Sungai Sarawak Rosli Sahari bagi pihak Jawatankuasa Surau Darul Uyuun untuk menyokong pelaksanaan program-program surau sepanjang bulan Ramadhan tahun ini.
Sumbangan tersebut telah disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Biro Agama Satok merangkap Setiausaha Cawangan PBB DUN Satok Sarbini Abang.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Timbalan Ketua Cawangan PBB DUN Satok Abdul Samat Gany, Timbalan Pengarah DBKU Mohd Faisal Adenan, Ketua Kampung No.3 Liliana Bohari, Ketua Pemuda PBB Satok Cr Mohamad Akram Mohd Karim, Ketua Wanita PBB Satok, Cr Salina Mohamad Salleh, Ketua Belia 1828 PBB Satok Muhammad Zhariff Azahari serta ahli jawatankuasa Surau Darul Uyuun dan exco-exco PBB Satok. - EDISI UKAS