SIBU: Kesemua tiga peringkat utama Pelan Pembangunan Semula Bukit Assek telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Perancang Negeri (SPA) dan kini menunggu pengumuman rasmi Premier Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, kelulusan tersebut membolehkan projek berimpak besar itu dilaksanakan secara menyeluruh dan terancang.
Menurut beliau, Peringkat Pertama melibatkan Penilaian Risiko Banjir seluas kira-kira 39,000 ekar, diikuti Peringkat Kedua merangkumi Pelan Induk Konsep Cloudburst serta reka bentuk Bandar Sibu meliputi 6,700 ekar.
“Peringkat Ketiga iaitu Pelan Induk Konsep Infrastruktur Bersepadu dan Pembangunan Bandar bagi Bukit Assek seluas 815.45 ekar turut diluluskan pada Oktober tahun lalu.
“Dengan kelulusan ini, kita bersedia memasuki fasa pelaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran SUPP Cawangan Bukit Assek.
Chieng berkata, pelan induk tersebut dicadangkan syarikat perunding antarabangsa dan telah melalui penelitian teknikal serta perbincangan bersama Premier Sarawak.
Tambahnya, satu pameran awam akan diadakan selepas pengumuman rasmi bagi memberi penerangan terperinci kepada penduduk mengenai skop dan pelaksanaan projek.
Majlis itu turut dihadiri Pengerusi SUPP Cawangan Bukit Assek Dato Chieng Buong Toon, Pengerusi SUPP Cawangan Dudong Wong Ching Yong serta Presiden Persatuan Gabungan Cina (UCA) Sibu Ngieng Hock Teck.-EDISI UKAS