LIMBANG: Pelbagai kemudahan asas di Kampung Bukit Kota terus dipertingkatkan secara berperingkat termasuk kerja menaik taraf prasarana dan kemudahan awam demi keselesaan penduduk setempat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, setiap pelaksanaan projek akan dipantau secara berterusan bagi memastikan ia benar-benar memenuhi keperluan rakyat dan memberi manfaat jangka panjang.
“Usaha ini bagi memastikan setiap keperluan rakyat diberi perhatian dan projek yang dilaksanakan memberi impak positif kepada penduduk,” katanya ketika berucap pada Program Bedudun Ramadan di Kampung Bukit Kota, pada Sabtu.
Pada majlis tersebut, beliau turut meluluskan sumbangan karpet baharu kepada Surau Setia Bakti susulan permohonan Ketua Kampung, sebagai usaha meningkatkan keselesaan jemaah menunaikan ibadah khususnya sepanjang Ramadan.
Beliau berharap penduduk terus mengimarahkan surau dengan solat berjemaah dan tadarus al-Quran bagi menyemarakkan suasana Ramadan.
Dalam pada itu, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Kota turut menyampaikan sumbangan kepada 10 asnaf sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan memerlukan. –EDISI UKAS