Bazar Ramadan Satukan Rakyat Berbilang Kaum, Cerminkan Keharmonian Sarawak
PADAWAN: Penganjuran Bazar Ramadan saban tahun bukan sahaja memeriahkan suasana menjelang waktu berbuka, malah menjadi platform penting dalam memupuk perpaduan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang berkata, bazar yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP) bersama Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai latar belakang dalam suasana harmoni.
Menurut beliau, kehadiran pengunjung daripada kaum Cina, Melayu, Iban, Bidayuh serta penganut pelbagai agama membuktikan bahawa Ramadan turut diraikan secara bersama oleh seluruh rakyat Sarawak.
“Di sini kita dapat lihat orang Cina, Bidayuh, Kristian dan masyarakat lain turut hadir. Banyak makanan yang ditawarkan pula bersifat sederhana dan mampu dinikmati semua, seperti sotong bakar, ikan bakar dan ayam bakar, makanan kegemaran rakyat Sarawak tanpa mengira kaum,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian dan ‘walkabout’ Bazar Ramadan Kota Padawan, di Pasar Batu 10, di sini, pada Ahad.
Selain pada bulan Ramadan, keharmonian di Sarawak turut terserlah menerusi persembahan kebudayaan seperti tarian singa dan tarian naga pada Tahun Baru Cina yang lalu di mana menurut beliau turut disertai ahli kumpulan daripada pelbagai kaum.
Katanya, penyertaan bersama masyarakat Iban, Cina dan Melayu dalam satu pasukan persembahan mencerminkan keunikan Sarawak sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya namun kekal bersatu.
“Beginilah Sarawak, tempat terbaik yang menunjukkan perpaduan sebenar,” ujarnya lagi.
Dalam program itu, Dato Ir Lo turut menyampaikan apron dan topi kepada 30 vendor yang berjual di bazar berkenaan di samping menyantuni pengunjung yang hadir untuk membeli pelbagai juadah yang disediakan.
Turut hadir, Pengerusi MPP Tan Kai, Pengerusi Penganjur Bazar Ramadan Kota Padawan Madhi Tomi serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS