Sambutan Hangat, 140 Gerai Warnai Bazar Ramadan Uptown Desa Ilmu
KOTA SAMARAHAN: Bazar Ramadan Uptown Desa Ilmu terus mencatat sambutan memberangsangkan apabila 140 gerai beroperasi sepanjang Ramadan, sekali gus menjadi antara lokasi tumpuan utama warga Kota Samarahan dan kawasan sekitarnya.
Kehadiran orang ramai yang tidak putus-putus setiap petang membuktikan bazar berkenaan kekal relevan sebagai pusat pilihan mendapatkan juadah berbuka puasa selain menjadi medan pertemuan masyarakat setempat.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Idris Buang berkata, beliau gembira melihat perkembangan positif Uptown Desa Ilmu yang semakin tersusun dan bersih.
“Saya lihat Uptown kita semakin bersih, semakin teratur, semakin besar dan penyertaan para peniaga semakin menyerlah dari segi kebersihan, presentasi serta kepelbagaian makanan dan minuman,” katanya ketika merasmikan bazar tersebut.
Menurut beliau, komitmen Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) bersama jawatankuasa penganjur berjaya menjadikan Uptown Desa Ilmu sebagai satu ikon di kawasan Muara Tuang dan Samarahan.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada semua yang menjayakan Uptown ini. Saya lihat mereka benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh ingin menjayakan Uptown ini supaya menjadi satu ikon Muara Tuang atau Samarahan,” ujarnya.
Dalam masa sama, bazar tersebut turut memberi impak ekonomi yang signifikan kepada peniaga kecil dan sederhana apabila penyertaan yang tinggi serta kunjungan ramai membuka peluang menjana pendapatan sepanjang bulan Ramadan.
Beliau turut menyeru masyarakat khususnya di sekitar Kuching dan Samarahan agar hadir memeriahkan bazar berkenaan yang menawarkan pelbagai juadah unik.
“Saya menyeru kepada semua rakyat khususnya di rantau Kuching dan Samarahan yang berdekatan, datang sini dan cuba sendiri. Ada lauk-pauk yang tidak pernah ada di tempat lain tetapi ada hanya di Samarahan,” katanya lagi.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi MPKS Awang Ismawi Abang Ali, Timbalan Residen Bahagian Samarahan Rais Ahmad, Setiausaha MPKS Gustian Durani serta Temenggung Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan Chek Bujang.
Majlis diakhiri dengan lawatan ke gerai-gerai jualan yang turut memperlihatkan suasana meriah dengan pengunjung memilih pelbagai hidangan berbuka puasa.-EDISI UKAS
Wartawan: Lonney Jinab Doris
Jurugambar: George S.Embie