MRP RM10,000 Perkukuh Usaha Perpaduan Persatuan Hakka Engkilili
ENGKILILI: Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi telah meluluskan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Hakka Engkilili bagi menyokong pelaksanaan program serta aktiviti kemasyarakatan persatuan itu.
Pengumuman peruntukan tersebut dibuat ketika beliau menghadiri dan merasmikan Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina dan Majlis Lambaian Kasih yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Lubok Antu, Sabtu malam.
Menurut beliau, peruntukan MRP itu adalah sebagai tanda sokongan terhadap usaha berterusan persatuan dalam memperkukuh perpaduan, memelihara kebajikan ahli serta menganjurkan program yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak persatuan atas komitmen menganjurkan program yang bukan sahaja meraikan sambutan Tahun Baharu Cina, malah menjadi platform mempereratkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum di kawasan Engkilili, Bahagian Sri Aman.
Sementara itu, majlis yang bermula jam 6.30 petang itu turut dihadiri Pengerusi Persatuan Hakka Engkilili Jee Jan Nam, Pengerusi Kehormat Lai Ngi Tha dan Tuan Bong Swee Fah, Penasihat Fam Ted Bun, Timbalan Pengerusi Jee Jit Shin serta barisan Ketua Masyarakat dan Kapitan setempat.
Peruntukan MRP berkenaan diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi memastikan kesinambungan aktiviti persatuan sekali gus memperkukuh keharmonian serta semangat perpaduan dalam komuniti setempat. - EDISI UKAS