Pengalaman Hampir 11 Tahun Jadi Kelebihan, Gerai Sup Tulang Terus Jadi Buruan di Bukit Berangan
KOTA SAMARAHAN: Pengalaman hampir 11 tahun berniaga di bazar Ramadan menjadi kelebihan buat seorang peniaga tempatan apabila gerainya terus mencatat jualan memberangsangkan di Bazar Ramadan Bukit Berangan tahun ini.
Sarbini Johari yang ditemui pemberita Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Ahad berkata, beliau tidak pernah terlepas menyertai bazar Ramadan sejak 2015, sebelum ini beroperasi di Bazar Ramadan Desa Ilmu dan kini mencuba lokasi baharu di Bukit Berangan.
“Sejak 2015 saya memang tidak pernah ‘skip’ berniaga di bazar Ramadan. Tahun ini saya cuba di Bukit Berangan dan alhamdulillah, hari pertama lagi sudah nampak sambutan yang sangat menggalakkan,” katanya.
Beliau yang juga pemilik SBJ Cafe terkenal dengan juadah sup tulang anak menantu yang menjadi antara menu paling digemari dan ditunggu-tunggu pelanggan setiap kali Ramadan.
Menurutnya, memasuki hari keempat berniaga di lokasi tersebut, jualannya sentiasa habis terjual.
“Alhamdulillah, setakat ini setiap hari memang ‘sold out’. Saya sangat bersyukur dan terharu dengan sokongan orang ramai di sekitar Bukit Berangan,” ujarnya.
Selain sup tulang anak menantu, gerainya turut menawarkan pelbagai pilihan lain seperti sup urat, sup kambing, bakso dan sup gearbox bagi memenuhi selera pelanggan.
Tambah beliau, pengalaman berniaga hampir sedekad membantu beliau mengekalkan kualiti rasa dan layanan, sekali gus memastikan pelanggan terus kembali.
“Minggu hadapan, insya-Allah saya mungkin akan tampil dengan menu baharu untuk tambah pilihan kepada pelanggan,” katanya lagi.
Kehadiran peniaga berpengalaman seperti beliau bukan sahaja memeriahkan suasana Bazar Ramadan Bukit Berangan, malah memperkukuh daya tarikan bazar tersebut sebagai lokasi pilihan masyarakat setempat mendapatkan juadah berbuka puasa.-EDISI UKAS