Majlis Merarau Perkukuh Peranan Biro Wanita Penurin
BETONG: Komitmen memperkasa peranan wanita dalam pembangunan komuniti terus diperkukuh menerusi penganjuran Majlis Merarau bersempena dengan ulang tahun ke-19 Biro Wanita Penurin yang berlangsung di Rumah Sibat Banyan, Penurin di sini pada Sabtu.
Program anjuran Biro Wanita Penurin bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Penurin itu menjadi medan mengumpul dana bagi menyokong perancangan dan aktiviti tahunan mereka, selain mengeratkan kerjasama dalam kalangan penduduk setempat.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu menegaskan bahawa penglibatan aktif wanita dalam penganjuran program komuniti mampu menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi kawasan.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis tersebut, sekali gus mengumumkan peruntukan RM5,000 kepada JKKK Penurin sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran program berkenaan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu dalam ucapannya pula menekankan bahawa Biro Wanita merupakan tunjang kekuatan sesebuah JKKK dan wajar terus diperkasa selaras dengan usaha meningkatkan taraf ekonomi dan pendidikan masyarakat.
Dalam ucapan sama, Dato Dr. Richard turut mengumumkan peruntukan RM5,000 kepada Biro Wanita Penurin.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan pelbagai pengisian termasuk jualan tiket meja merarau, cabutan tiket bertuah, pemotongan kek ulang tahun dan persembahan pentas sebelum melabuhkan tirai dalam suasana harmoni.
Turut hadir menyerikan lagi majlis itu ialah Tuai Rumah Panjang Penurin Sibat Banyan, Ketua Biro Wanita Penurin Demei Luta, Pegawai UKAS Bahagian Betong Tony Malang Chabu, Ketua Gereja St Augustine Betong Father Rentap Nuang serta Kaunselor Tebari Megong.-EDISI UKAS