Kunjungan TBC erat hubungan pemimpin dan komuniti Bintulu
BINTULU: Sambutan Tahun Baharu Cina di Bintulu terus diserikan dengan siri kunjungan rumah terbuka oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian yang meluangkan masa bertemu pemimpin masyarakat serta komuniti setempat pada Ahad.
Beliau yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) hadir bersama isteri serta rombongan kepimpinan parti bagi menyampaikan ucapan Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tionghua di bahagian tersebut.
Kunjungan bermula jam 1 petang di kediaman Temenggong Dato Chai Shong Phian di Lucky Garden, Jalan Tanjung Batu, dengan kehadiran masyarakat pelbagai kaum yang mengambil peluang beramah mesra bersama pemimpin negeri.
Ia diteruskan ke kediaman Datuk Wong Aik Luong di Jalan Persiaran Mempelam, Tanjung Batu sebelum ke kediaman Naib Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA), Noel Yek Nae Shiuan di Starhill, Jalan Tun Hussein Onn.
Siri lawatan diteruskan dengan kunjungan terakhir ke kediaman Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sarawak (ACCCIS), Kong Chiong Ung di Taman Tinggi 2.
Sepanjang kunjungan tersebut, Dr Sim turut menyampaikan ucapan Tahun Baharu Cina serta bertukar pandangan dengan pemimpin masyarakat, tokoh pendidikan dan komuniti perniagaan tempatan mengenai perkembangan semasa serta pembangunan Bintulu.
Kunjungan tersebut bukan sahaja menjadi tradisi tahunan sempena Tahun Baharu Cina, malah berperanan memperkukuh hubungan antara kerajaan negeri, pemimpin komuniti serta sektor perniagaan tempatan.-EDISI UKAS