Kerjasama UKAS-PBSMM Perkukuh Kesedaran Bantuan Kecemasan
KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menerima kunjungan hormat delegasi dari Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Daerah Kuching bagi membincangkan kerjasama strategik dalam penganjuran ceramah asas bantuan kecemasan khusus kepada pengamal media di Kuching.
Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan menyambut delegasi BSMM yang diketuai Pengerusinya, Jee Kouk Hiong di Ibu Pejabat UKAS di sini pada Isnin.
Kunjungan tersebut bertujuan memperkukuh kolaborasi antara kedua-dua pihak, khususnya dalam meningkatkan tahap kesiapsiagaan pegawai media melalui pendedahan kepada teknik Teknik Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) serta penggunaan Defibrilator Luaran Automatik (AED) yang betul dan berkesan.
Antara fokus utama perbincangan ialah usaha memperluas pengetahuan awam mengenai kepentingan AED sebagai peralatan penting dalam situasi kecemasan jantung, selain meningkatkan kesedaran tentang tindakan pantas yang boleh menyelamatkan nyawa sebelum ketibaan pasukan perubatan.
Selain itu, delegasi PBSMM turut mencadangkan sesi ceramah kesedaran awam yang merangkumi latihan praktikal CPR dan demonstrasi penggunaan AED bagi memastikan para pengamal media memperoleh pengalaman secara langsung dan lebih bersedia menghadapi situasi kecemasan di lapangan.
Dalam pertemuan tersebut, turut dibincangkan cadangan lokasi serta tarikh yang bersesuaian bagi pelaksanaan program, dengan harapan ia dapat direalisasikan dalam masa terdekat demi manfaat bersama dan kesejahteraan komuniti.
Turut hadir Timbalan Pengarah UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali serta barisan pegawai kanan UKAS.-EDISI UKAS