Kepimpinan Turun Padang Perkukuh Perpaduan Masyarakat Majmuk
SARIKEI: Pendekatan kepimpinan turun padang terus dizahirkan melalui lawatan rumah ke rumah sempena sambutan Tahun Baharu Cina oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii bersama Pusat Khidmat Wakil Rakyat bagi mengeratkan hubungan silaturahim dengan pemimpin masyarakat serta penduduk setempat.
Menurut beliau, program sedemikian bukan sahaja memeriahkan suasana perayaan, malah menjadi medium penting dalam memperkukuh perpaduan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di kawasan Sarikei.
“Saya berpendapat program seperti ini amat bermakna kerana ia bukan sahaja menghidupkan suasana perayaan, malah memperkukuh perpaduan serta keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di kawasan Sarikei.
“Tradisi ziarah sempena musim perayaan juga menjadi platform terbaik untuk mendengar secara langsung pandangan serta keperluan rakyat di peringkat akar umbi, dan saya akan terus komited mendekati rakyat serta memastikan kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian,” katanya ketika ditemui semasa lawatan tersebut di sekitar Sarikei, pada Sabtu.
Sepanjang lawatan tersebut, beliau turut menziarahi kediaman Temenggong Lau Hieng Ming dan Pemanca Chan Phan Chan selain beramah mesra dengan masyarakat pelbagai lapisan yang bersama-sama meraikan kemeriahan Tahun Baharu Cina dalam suasana mesra dan penuh muhibah.
Lawatan berkenaan sekali gus mencerminkan keprihatinan kepimpinan terhadap rakyat serta komitmen berterusan dalam memupuk perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk di kawasan Sarikei.-EDISI UKAS